Tuesday, 23 October 2018

Ujian. Makin dekat atau jauh dengan Allah

Assalamualaikum gais

Ujian. Rasanya semua orang pernah diuji , cuma pengertian ujian itu bergantung kepada empunya badan. Kalau sebut ujian biasanya dikaitkan dengan kehilangan orang tersayang, kemiskinan, kesusahan, kesakitan dan sebagainya. Tapi boleh jadi juga kesenangan, kekayaan, kemewahan juga jadi medan ujian kepada sesetengah individu. 

Baru-baru ini seorang sahabat menghadiahkan sebuah buku berjudul "Bersyukur Saat Diuji" tulisan Prof. Kamil Ibrahim. Seakan sedang memahami ujian yang sedang kami (merujuk kepada aku dan suami)  alami. Apakah ujian terhebat dalam diri kamu sekarang? Itu soalan yang dilontarkan dalam buku ini. Pantas aku menjawab di dalam hati ujian terbesar kami suami ditamatkan kontrak menjadi pensyarah Uitm setelah menjadi pensyarah hampir 14 tahun mulai April 2017. Sebab apa dan mengapa ditamatkan kontrak biarlah kami simpan ia sebagai satu rahsia. Ini pengakuan aku yang pertama kali secara terbuka untuk tatapan rakan-rakan , yang selalu bertanyakan suami tak kerja ke harini. Nah terjawab sudah kan. Kehilangan pekerjaan itu ibarat kehilangan punca pendapatan UTAMA kepada keluarga. Namun kami bernasib baik kerana kami memiliki sebuah kedai dobi dan bisnes kerepek  yang agak stabil. Alhamdulillah. Namun dalam bisnes pasang surut jualan itu tetap ada, ada kala banyak, ada kala langsung tiada. 

Tapi bila aku membaca buku "Bersyukur Saat Diuji" baru aku sedar , ujian terbesar dalam diri seorang manusia bila mana kita mula meninggalkan Allah secara perlahan-lahan tanpa kita sedar.  Kita mula mencari manusia untuk  memulihkan semula keeadaan sedang hakikatnya Allah sedang menguji kita sama ada akan terus dekat atak semakin jauh dengannya. 

Allah berfirman dalam surat Al Baqarah ayat 286 :
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma’aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”
Dari ayat di atas,  Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dan ini merupakan janji Allah, jadi sesungguhnya tidak mungkin Allah membebani kita dengan ujian yang tidak kita sanggup.

Allah menurunkan ujian kepada manusia kerana : 
1. Allah mahu menunjukkan Allah itu sangat berkuasa atas segalanya. 
2. Allah mahu memberikan pahala pahala kebaikan jika seseorang yang sedang diuji tersebut bersabar dan melakukan kebaikan dan mencari jalan keluar dengan cara yang diredhai Allah, dan sebaliknya Allah akan memberikan dosa jika ia tidak bersabar dan mencari jalan keluar dengan cara yang tidak diredhai Allah.
3. Allah mahu kita terus bergantung sepenuhnya kepadaNya.
4. Allah mahu mengampunkan dosa semua dosa-dosa kita
5. Allah mahu memberikan yang terbaik untuk kita. 
Bila aku ulang , ulang dan ulang betapa indahnya Surah Al -baqarah ayat 286, hati jadi tenang dan boleh terima keadaan.  Hikmahnya, kita akan banyak mengadu dengan Allah , rapat dengan Allah dan mula mendekati Allah  dengan solat tahajud, solat-solat sunat, zikir dan sebagainya. Indah bukan ujian ini. Manusia jadi lalai dan leka bila tidak diuji. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. 







Pengedar Shaklee Marang Azlina 011.1687.6378

No comments:

Post a Comment

Salam Maulidur Rasul

Assalamualaikum gais. Harini cuti  sempena Maulidur Rasul iaitu hari memperingati junjungan besar Nabi Muhammad SAW.  Jangan lupa banya...